Sunday, 9 August 2015

Kit Bijak Wang : Alat Bantu Mengajar


Keadaan ekonomi tidak menentu masa kini telah menimbulkan situasi panik dan kegusaran terhadap penduduk Malaysia. Atas kebimbangan ini, ciptaan produk yang boleh dianggap sesuai sebagai Alat Bantuan Mengajar ini saya rasakan sangat ideal dan bertepatan pada waktu ini dengan tujuan memberikan kesedaran dan meningkatkan ilmu kewangan seawal usia kanak-kanak lagi.

Mari kita ikuti temuramah dan tulisan yang diterbitkan di dalam Sinar Online pada 23 Mei 2015.




MELIHAT isu muflis disiarkan hampir setiap hari di dada-dada akhbar mahupun kaca televisyen, dua rakan sekerja dari Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil langkah murni menghasilkan produk inovasi dikenali sebagai Kit Bijak Wang.

Ketua Jabatan Pengurusan Sumber Manusia dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia UPM, Profesor Madya Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, berdasarkan kajian Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), faktor lemah dari segi pengurusan hutang dan kurang pengetahuan menyebabkan mengapa ramai diisytiharkan muflis.

“Saya sendiri melihat golongan yang bekerja hari ini kurang pengetahuan mengenai pengurusan kewangan, apatah lagi budaya mencatat perbelanjaan wang tidak ada dalam diri mereka,” katanya ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian, baru-baru ini.

Menurut Mohamad Fazli, kajian sebelum ini menunjukkan jika anak-anak kita didedahkan dengan pengetahuan pengurusan kewangan seawal usianya, ia sedikit sebanyak akan membantu mereka di masa hadapan.

“Oleh itu, pada 2014 saya menjalankan satu kajian bertajuk 'Literasi Kewangan, Kompetensi, Pola Perbelanjaan dan Pembelian Serta Sosialisasi Kewangan Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Rendah' bagi memupuk golongan tersebut mengurus kewangan mereka sebelum terlambat.

“Kajian tersebut melibatkan 800 orang murid tahun empat dan lima seluruh Malaysia mengikut pecahan zon bagi mengkaji tingkah laku mereka berkaitan wang,” katanya.

Mohamad Fazli berkata, keputusan kajian tersebut sedikit mengejutkan kerana majoriti murid terlibat tidak dapat membezakan keperluan dan kehendak.

“Kebanyakan ibu bapa tidak pernah melibatkan anak-anak mereka dalam soal pengurusan kewangan dengan alasan mereka terlalu muda dan ini silapnya kerana kita perlu mendidik mereka seawal usia.

“Lebih menarik lagi 70 peratus daripada murid-murid tersebut mengaku mereka ada meminjam wang daripada rakan- rakan dan ini menunjukkan bahawa budaya berhutang sudah menular dalam kalangan anak-anak keci,” katanya.

Mengandungi 10 permainan pengurusan kewangan

Akibat situasi yang dilihat membimbangkan itu, Mohamad Fazli bersama rakan sekerjanya, Nurhayatul Nira Ramli tidak teragak-agak memperkenalkan produk penyelidikan UPM iaitu Kit Bijak Wang - Anak Bijak Cerdik Duit dengan kerjasama Putra Science Park, UPM.

Menurut Mohamad Fazli, produk itu merupakan inisiatif untuk meningkatkan kesedaran golongan ibu bapa dan pendidik berkaitan amalan pengurusan kewangan yang bijak dan berhemah.

“Kit Bijak Wang ini merupakan kit pendidikan kewangan pertama di Malaysia yang mana mampu membina keupayaan dan kemahiran pengurusan kewangan yang bijak serta berhemah.

“Ia mengandungi 10 permainan interaktif yang santai dan disusun mengikut kesesuaian perkembangan kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun, selain dilengkapi dengan informasi dan langkah pelaksanaan bagi memudahkan ia diguna,” katanya.
Kit ini juga sesuai digunakan sebagai bahan pengajaran di rumah atau sekolah dan aktivitinya boleh dilakukan secara bersendirian, bersama rakan dan keluarga.

“Terdapat 16 aktiviti di dalam kit ini termasuk buku panduan, kad imbas konsep wang, kad padanan mata wang, puzzle, diari wang saku, tabung pasang siap dan macam-macam lagi.

“Melalui aktiviti ini kami juga menerapkan nilai-nilai murni seperti menderma dan sedekah melalui permainan Profesor Bijak Wang yang seakan-akan monopoli,” katanya.

Dalam proses tembusi kedai buku

Ditanya mengenai penembusan pasaran Kit Bijak Wang, Mohamad Fazli berkata, setakat ini, produk tersebut boleh didapati di laman sosial Facebook Gen Bijak Wang dan juga UPM pada harga RM149.90 satu set.

“Kami dalam proses untuk memasuki kedai-kedai buku seperti MPH dan Pustaka Rakyat dalam masa terdekat memandangkan produk ini masih baharu dalam pasaran.

“Terdapat beberapa syarikat menunjukkan minat terhadap produk kami dan beberapa rundingan masih dijalankan bagi membincangkan kelebihan produk kami,” katanya.

Mohamad Fazli turut berkongsi anugerah yang diterima olehnya melalui Kit Bijak Wang seperti Anugerah 2014 World Inventor Award Festival Korea dan Anugerah Berlian International Innovation, Design & Articulation 2014.

1 comment:

  1. Satu Kit yang bagus dalam mendidik anak- anak seusia awal 6 tahun mengenal pengurusan kewangan...Tahniah Prof dan team...

    ReplyDelete